Wednesday, November 23, 2011

Kasut Merah Jambu

Aku merasa begitu bertuah kerana tidak seperti rakan-rakan lain yang perlu menempuhi kehidupan sebagai penganggur berdiploma, rezekiku lebih murah. Belumpun tamat peperiksan, aku sudahpun menerima tawaran bekerja. Walaupun gaji yang ditawarkan begitu sedikit , hanya RM650 sebulan, untuk seseorang yang tiada pengalaman bekerja sepertiku, gaji tersebut amat lumayan.

CPT adalah sebuah kilang milik syarikat dari Taiwan. Ketika itu, CPT merupakan pengeluar terbesar tiub television di dunia dan kilangnya dikatakan antara yang terbesar di Malaysia. Ia terletak di Batu Tiga, iaitu kawasan perindustrian di Shah Alam. Terdapat kuarters khusus untuk pegawai-pegawai tingginya berhampiran dengan kilang. Untuk pekerja kilang yang lainnya, beberapa pangsapuri disediakan di Pelabuhan Klang dan Alam Megah. Khabarnya, di Taiwan, CPT mempunyai universiti serta rangkaian sekolahnya sendiri. Ditawarkan jawatan sebagai Juruteknik di CPT adalah sesuatu yang ku kira akan menambah nilai pada resumeku.

Sementara menantikan hari Isnin untuk melapor diri di tempat kerja, aku 'menumpang tanpa izin' di kolej Seroja ITM. Setinggan, mengikut istilah kami di zaman itu. Manalah mampu hendak menyewa bilik di luar sana? Duit di kocek hanya ada RM50 yang baru dikirimkan oleh Abah dari kampung. RM50 itulah modal untukku hidup sementara menanti gaji pertama nanti. Janji CPT, asrama dan pengangkutan ke tempat kerja akan disediakan. Cukupkah RM50 untuk belanja makan dan minum selama sebulan? Entahlah, aku belum berfikir sejauh itu. Hendak minta lebih, aku tahu sangat yang Abah tiada duit. Dia hanya menerima wang pencen yang setelah ditolak hutang pinjaman bank, hanya berbaki RM115. Bila memberiku RM50, entah bagaimanalah Abah mengadakan makanan setiap hari untuk dirinya, Mak dan adikku yang masih bersekolah. Gaji pertamaku nanti, akan ku beri kesemuanya pada Abah - begitu tekad hatiku.

Jadi, di Serojalah, aku menumpang tidur. Menyelinap masuk diam-diam dan bergelap sepanjang masa. Jika diketahui oleh Penggawa, entah apa tindakan yang akan diambilnya.

Masa berlalu begitu perlahan untuk seseorang yang sedang setinggan. Namun seperti yang dijanjikan alam, Isnin akhirnya tiba juga. Awal-awal pagi lagi aku sudah keluar dari asrama dengan seluruh harta yang kumiliki - muat diisi di dalam hanya satu beg. Bangga hati tatkala menaiki bas 222, kerana pertama kali menaikkinya sebagai seorang yang bekerja, bukan lagi sebagai pelajar ITM. Bas membawaku ke Batu 3 Shah Alam dan dari situ, aku berjalan ke CPT.

Setibanya di pagar CPT, tekad hatiku bertambah kuat. Di sinilah, Mak dan Abah, permulaan di mana kehidupan kita sekeluarga akan bertambah baik. Anakmu ini akan bekerja serajin-rajinnya supaya Abah tidak perlu lagi mengambil upah memotong dahan di tepi jalan dan Mak tidak perlu lagi pening kepala memikirkan menu harian dengan bajet yang amat terhad.

Hairannya, aku tidak dibenarkan masuk oleh Pengawal pagar. Tebal kumisnya, tegap sasa susuk tubuhnya, aduh, layaknya dia warden di penjara penjenayah tegar. Keningnya bercantum menjadi satu garisan marah bersesuaian dengan lakaran cemuhan dibibirnya.

"Saya kerja sini, hari ni mau report duty. Ini ada surat.", aku memberanikan diri cuba untuk menjelaskan keadaan. Bagaimana mungkin aku tidak dibenarkan masuk, apa kata majikanku nanti jika aku gagal melapor diri di hari pertama!

"No slippers", jawabnya ringkas namun kedengaran begitu keras.

Sememangnya sepanjang tiga tahun di ITM, aku tidak pernah berkasut. Apa yang ku ada hanyalah selipar buatan Bata, berharga RM7.90 sepasang. Talinya berwarna hijau atau merah, itulah fesyen ku kerana hanya selipar itu yang aku mampu. Aku tidak bersukan, jadi tidak juga mempunyai kasut kanvas.

Tanpa kasut, aku tidak akan dibenarkan memasuki CPT! Apalah ikhtiarku? Aku tidak boleh kehilangan peluang pekerjaan ini hanya kerana ketiadaan kasut!

Dengan izin warden penjara tadi, aku menghubungi pejabat syarikat dan memaklumkan kepada mereka bahawa aku hanya akan hadir keesokan hari kerana tidak tahu peraturan syarikat berkaitan penggunaan selipar. Mereka bersetuju.

Segera aku menuju ke perhentian bas menanti 222 semula. Aku perlu kembali ke Seroja.

Setibanya di Seroja, misiku bermula - memasuki semua bilik asrama mencari kasut yang sudah tidak dikehendaki pemiliknya lalu ditinggalkan dibilik atau dibuang sahaja.

Mana tong sampah yang tidak ku selongkari? Aku perlu mendapatkan kasut dan sebagai penceroboh di Seroja, misiku perlu berjaya segera, sementara hari masih siang.

Puas mencari, akhirnya ku temui sepasang moccasin. Jika ada sesiapa yang melihat wajahku ketika itu tentu akan menyangka bahawa aku telah menemui harta karun paling berharga. Memang yang ku temui itu sesuatu yang berharga, biar ianya sampah di mata orang lain. Riangnya hati ku, leganya dadaku, apabila kasut syarat kerja telah berada di dalam tangan! Biarlah jika ia jauh dari sempurna! Kasut bersaiz 5 sedangkan aku bersaiz 4 1/2. Tapak kasut bahagian kiri sudah separuh tanggal. Kasut sebelah kanan pula sedikit koyak di hadapan. Dan paling menyerlah, warnanya merah jambu.

Tapak yang tanggal, ku lekatkan semula menggunakan stapler. Bahagian terkoyak kubiarkan sahaja kerana ketiadaan jarum dan benang.

Esoknya, aku melapor diri di CPT majikan pertamaku, dengan seluar denim biru, kemeja-T hitam dan moccasin merah jambu.

Selama sebulan, moccasin merah jambu tersebut berjasa kepadaku walau setiap hari ia perlu di stapler dan koyaknya semakin mendedahkan jari.

Sudah begitu lama aku meninggalkan CPT. Menyambung pengajian ku ke peringkat lebih tinggi seterusnya bekerja dengan pelbagai majikan lain. Sekian lama meninggalkan CPT dan begitu jauh kerjayaku menyimpang dari bidang Sains sehinggakan CPT tidak lagi ku nyatakan di dalam resume. Malahan, CPT juga tidak lagi wujud setelah teknologi plasma dan LED menggantikan tiub sinar katod (CCRT).

Sejak hari itu, aku tidak pernah lagi menggunakan selipar Bata. Mungkin Imelda Marcos juga menempuhi pengalaman yang sama sepertiku. Kerana itu kami berkongsi minat yang sama - membeli kasut.

9 Comments:

Anonymous hanakirana said...

this is very nicely written, sis.. :)

8:58 AM  
Blogger mummy_icha said...

seluar denim biru dgn kemeja hitam dah matching, tp kasut pink mesti 'menyerlahkan' lagi penampilan.hehe... besar pahala org yg tggalkan kasut tu ek... :-)

4:32 PM  
Anonymous azian tahir said...

hehehehe... begitulah kita menempuhi cabaran memulakan perkerjaan yang baru tanpa memilih kerja yang penting bergaji dan menampung diri serta menghulur kepada keluarga kan...

12:43 AM  
Blogger MA said...

I love that slipper Bata. Now dah naik harga RM 14.99 dan susah nak jumpa di KL. I bought mine in Alor Setar, in Kuantan and everytime terjumpa, I beli sampai 3-4 pasang sekali gos , simpan buat stock...:P

7:24 AM  
Anonymous Anonymous said...

Why is your boss wannabe always envy you

5:27 PM  
Blogger Uncle ZT said...

Orang baru bersalin reminiscing...? Welcome back!

6:57 PM  
Blogger Jeritan Rakyat Marhaen said...

sedih dengor cerita dulu2 kan? masa tu Alam Megah tempat jin bertendang jauh di hujung donia

2:16 AM  
Blogger Jeritan Rakyat Marhaen said...

sedih dengor cerita dulu2 kan? masa tu Alam Megah tempat jin bertendang jauh di hujung donia

2:17 AM  
Blogger Anonymous said...

oh..i was thinking a pink stilettos with the title.

I assumed wrong.

Nice piece of story.

~po

12:23 AM  

Post a Comment

<< Home